Face Book

Wan Mohd Shahir's Facebook profile

Tuesday, March 3, 2009

9 Sebab Melayu Xleh Jadi James Bond

1. Melayu Suka Berahsia Tetapi Tidak Pandai Simpan Rahsia.
Aku rasa industri perisikan satu dunia ini berasaskan satu konsep, iaitu keupayaan untuk menyimpan/menghantar/menjual maklumat rahsia dan sensitif. Sekarang kita lihat sahaja Harian Metro. Penuh dengan berita-berita peribadi yang mengaibkan, lagi-lagi selebriti murahan dan ahli politik. Lagi pun kita semua memang gemar mendengar perkara yang sepatutnya dirahsiakan. Macam siapa main dengan siapa, laki siapa yang keluar dengan bini siapa, laki siapa yang keluar dengan laki lain, siapa yang bayar duit kepada siapa, benda-benda macam tu-lah. Aku tidak hairan kalau Melayu yang jadi James Bond sudah pasti keesokan harinya terpampang di muka depan suratkhabar segala apa rahsia kerajaan kita semua. Tapi itu mungkin perkara yang baik pun. Cuma bergantung kepada nilai wang ringgit rahsia itu bukan?

2. Martini Yang Digoncang, Bukan Dikacau (Martini, Shaken, Not Stirred) Itu Haram.
Takkanlah kamu pergi ke tempat-tempat ekslusif di French Riviera atau Monte Carlo dan kamu pergi ke bar dan memesan, "Bang, fresh orange satu?". Aku rasa pada saat dan ketika itu pastinya identiti kamu sebagai perisik dari Malaysia yang jual rahsia kepada Harian Metro akan terbongkar serta-merta. Akibatnya pasti kamu dibunuh atau sekurang-kurangnya diseksa dengan menonton kesemua episod 6 musim Akademi Fantasia. Sekaligus.

3. Kasino Dan Perjudian Haram.
Kalau kamu menonton 'Casino Royale', James Bond dengan selambanya menggunakan duit kerajaan British untuk berjudi demi tugasan rahsianya. Bukan itu sahaja malah pegawai yang ditugaskan dari Kementerian Kewangan pula ialah seorang wanita seksi dan mengancam yang tidak suka memakai coli (sarung tetek kata orang tua-tua). Kalau agen rahsia kita yang pergi mesti fikir dua tiga kali untuk melangkah ke dalam kasino. Dan sudah pastinya akan terfikir untuk ke kasino sambil berbaju batik berlengan panjang macam semasa latihan espionage dulu di Genting Highlands. Kalau ada pegawai Kementerian Kewangan kita pula yang ikut sudah tentu pegawai yang ditugaskan seorang makcik bertudung yang memakai lencana nama berwarna hitam. Jangan haraplah kalau dihantar untuk masuk ke dalam kasino yang penuh dengan perjudian, arak dan seks bebas (menurut Harian Metro).

4. Seks Bebas Juga Haram, Bukan?
Semua pasti tahu bahawa James Band ialah seorang Player (Cerita Lain). Seks dan nafsu digunakan semata-mata untuk menyelesaikan misi. Banyak masalahnya kalau agen kita yang menjadi James Bond. Satu, agen kita pasti kacak macam Daniel Craig, jadi sudah tentu amat sukar untuk menggunakan seks sebagai taktik. Mesti ramai yang tidak berselera pun. (Orang kita kalau kacak paling kuat cita-cita pun hendak berganding dengan Nasha Aziz di dalam siri drama 72 episod. Tak akan ada yang ingin jadi agen kerajaan.) Dua, kalau kacak pun, bukan tentu agen-agen serta pegawai-pegawai yang kita hantar itu sukakan perempuan pun.

5. Proton!
Hendak buat kereta tahap konsumer pun masih terkial-kial selepas 20 tahun, inikan pula kereta khas untuk perisikan yang penuh dengan fungsi dan senjata tersembunyi dan kalis peluru pula. (Macam Batmobile dulu) Aku rasa paling kuat pun kalau kita ada James Bond fungsi tercanggih Kereta Perisik Nasional merupakan Keupayaan Untuk Buka/Tutup Pintu Tingkap Tanpa Tersangkut. Memang tak akan ada Kereta Perisik Nasional yang boleh jadi kapal terbang/kapal selam/belon/helikopter. Kalau hendak gunakan kereta import pula susah nanti, satu Dewan Rakyat kecoh pasal peruntukan/kos penyelenggaraan/AP.

6. Identiti Palsu Amat Terhad.
Dengan rupa sawo matang kita, memang sukar untuk agen kita low-profile. Sebab kita turun lapangan terbang mana pun, nama kita yang ada perkataan 'Bin' itu sudah pasti menyebabkan sedikit kesukaran akibat 'ancaman keselamatan'. Untuk menggunakan nama 'Carlos Valderrama' atau 'Bebeto' (orang Amerika Latin ada rupa Melayu apa?) di dalam passport pula susah, nanti orang kampung ingatkan kamu murtad. Kalau guna nama Mat Salleh memang 100% kantoi. Kamu ingat ada orang akan percaya ke bila lelaki rupa Melayu pakai passport di bawah nama 'John Holmes' atau 'Ron Jeremy'? Sudah tentu tidak.

7. Tidak Cukup Peralatan Khas.
Kalau James Bond ada watak 'Q'nya yang membekalkan segala apa peralatan rahsia sebagai alat komunikasi, senjata atau alatan perubatan, kita ada apa?

Setakat remote control Astro tidak ke mana. Kalau hendak harapkan satelit-satelit Measat untuk komunikasi pun aku rasa agen rahsia kita kena 'beratur' dan tunggu giliran di belakang quota penggunaan Maxis, Celcom, Digi, U-Mobile dan macam-macam lagi. Kalau musuh kita letupkan semua Measat-Measat kita (tidak silap aku ada 2? Betulkan aku jika salah, ya?) memang habis terkandas agen rahsia kita. Takkan nak tulis dan hantar surat pakai Pos Malaysia?

8. Satu Malaysia Akan Tahu Identiti Agen Rahsia Kebangsaan.
Ya-lah, mestilah bangga, ada anak jati kita yang berjaya menjadi Agen Rahsia. Sudah tentu akan ada lintas langsung hari Ahad ketika rancangan Nona, ala-ala perkahwinan-perkahwinan glamour selebriti kita. (Itu pun kalau Astro Awani tidak ambil dulu.) Memang sah akan terpampang muka agen rahsia kita di mana-mana, yang sudah tentunya dipilih melalui undian SMS. Apa-apa pun aku rasa agen rahsia kita mungkin akan menjadi kaya akan menjadi duta produk itu dan produk ini. Mungkin atas sebab ini agen rahsia kita tiada sebab untuk dilaporkan ke BPR sebab sudah cukup gajinya.

9. Kita Mungkin Cukup Belanjawan Untuk Satu Orang Agen Sahaja.

Mestilah, sebab aku rasa belanja untuk latihan sahaja sudah berjuta-juta. Akan wujud Pusat Pra-Latihan Agen Rahsia yang pastinya akan dibina di lokasi eksklusif di United Kingdom (atas dasar perkongsian teknologi), kemudiannya Pusat Latihan Asas Agen Rahsia Kebangsaan di lokasi rahsia yang tidak boleh dikemukan (Langkawi. Sebab bebas cukai) dan tidak lupa juga Pusat Latihan (Dan Convention Hall) Lanjutan Agen Rahsia Kebangsaan di Putrajaya. Selepas agen rahsia kita terbunuh ketika melakukan tugasan (akibat keracunan makanan di Dubai) sudah tentu kecoh satu Malaysia tentang program agen rahsia kita di suratkhabar, dan akibatnya satu program ini dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan dari segi latihan (sebab gunakan pelatih sukarelawan) dan bangunan (kandungan pasir lebih dari simen dalam bancuhan konkrit). Tamat cerita.

Jadi, memang sahlah Orang Melayu Tidak Boleh Jadi James Bond, bukan?

0 comments:

advert 2