Face Book

Wan Mohd Shahir's Facebook profile

Sunday, September 21, 2008

Veteran Komunis kritik filem Peristiwa Bukti Kepong



Bahagian kedua memoir veteran komunis Abdullah CD telah diterbitkan di Kuala Lumpur dan kini dalam pasaran.

Memoir bertajuk Penaja dan Pemimpin Regiment Ke-10, itu menceritakan mengenai asal-usul dan operasi perang gerila anti-komunis selama 12 tahun pada zaman darurat (1948-1960) dari perspektif seorang veteran komunis Melayu.

Abdullah memimpin Regimen ke-10 Tentera Kebebasan Rakyat Malaya (MNLA) yang kesemua anggotanya adalah Melayu.
Dalam memoir bahagian kedua ini, Abdullah CD mendedahkan mengenai serangan komunis di balai polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 yang diketuai Mat Indera yang kemudiannya ditangkap dan dihukum gantung sampai mati.
eMenurut Abdullah CD, Mat Indera telah "diracun" sebelum dia ditangkap.
Abdullah CD juga mengkritik penjajah dan pihak berkuasa yang pro-penjajah kerana 'memutarbelitkan' sejarah mengenai serangan Bukit Kepong dalam satu filem rasmi bertajuk Peristiwa Bukit Kepong.
"Keluarga Mat Indera juga mengecam filem tersebut kerana ia tidak mencerminkan realiti sebenarnya," tulis Abdullah CD. (m 117)
Abdullah CD, yang nama sebenarnya Cik Dat bin Anjang Abdullah, menandatangani Perjanjian Damai 1989 di Haadyai antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan Malaysia.
Beliau adalah pengerusi PKM. Dua lagi yang turut menandatangani perjanjian damai itu bagi pihak PKM ialah Setausaha Agungnya, Chin Peng dan ahli jawatankuasa pusatnya, arwah Rashid Maidin (1917-2006).
Bertemu Ghafar
Dilahirkan di Lambor Kiri, Parit, Perak pada Oktober 1923, Abdullah CD dan saudara perempuannya, Kamariah menyertai perjuangan bersenjata golongan muda Melayu menentang pendudukan Jepun di sepanjang Sungai Perak.
Dalam memoir bahagian pertamanya, Zaman Pergerakan Sehingga 1948 (Petaling Jaya, SIRD, 2005) menceritakan beliau secara rasmi menyertai PKM pada bulan Mei 1945 di kampungnya di Lambor Kiri.
Pada Februari 2005, Abdullah CD mengadakan temubual eksklusif dengan malaysiakini - temubual pertamanya sejak 1948.
Dalam kajian sejarah mengenai Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan (Bangi, Penerbit UKM, 2006), ahli sejarah UKM yang telah bersara Dr Mohamad Salleh Lamry mendedahkan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba (1925-2006) telah bertemu secara peribadi dengan Abdullah CD di sebuah hotel di selatan Thai pada 2003 untuk berbual mengenai kenangan lalu.
Sebelum menyertai Umno, Ghafar dipercayai rapat dengan nasionalis Melayu puak kiri dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang bekerjasama dengan komunis dalam barisan bersatu anti-penjajah dalam tempoh 1946-1948.
PKMM adalah yang pertama menggunakan slogan Merdeka!
Abdullah CD – yang pulang ke Malaysia sekurang-kurangnya dua kali dan pernah diterima mengadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah – kini tinggal di selatan Thai bersama isterinya Suriani Abdullah nee Eng Ming Ching @ Ah Ming serta anak cucu mereka.

0 comments:

advert 2